Mi bandung | |
---|---|
![]() Mi Bandung Muar. | |
Nama alternatif | Mi Bandung Muar, Mi Bandong Muar, Mee Bandong, Mee Bandung, Mee Bandung Muar, Mee Bandong Muar |
Jenis | Mi |
Tempat asal | ![]() |
Kawasan/rantau | ![]() |
Dicipta oleh | ![]() |
sunting · sunting di Wikidata![]() |
Mi bandung (ejaan tidak rasmi: mee bandong; Jawi: مي باندوڠ ) ialah masakan tradisional terkenal di Malaysia yang berasal daripada Muar, Johor.[1][2][3]
Perkataan 'bandung' di sini bererti 'berganda', 'berkembar' atau 'berpasangan' di mana sesuatu berganding atau bercampuran dengan sesuatu yang lain.[4] Umpamanya seperti 'sirap bandung' untuk minuman susu digandingkan dengan sirap berperisa ros ataupun 'rumah berbandung' untuk rumah berkembar (semi-D).[5] Manakala, daerah Muar diketahui dan dikenali ramai sebagai tempat asalnya mi bandung.[2][6][7][8]
Mi bandung pada asalnya adalah masakan gandingan mi kuning dan telur ditambah dengan kuah pekat yang dibuat daripada ramuan campuran cili, tumisan bawang bersama rempah ratus, belacan dan udang kering.[9] Ia kemudiannya ditambah baik dengan bahan-bahan seperti udang, daging, kek ikan dan sayuran.[3][10] Sajian versi khas ("spesial") telah dihasilkan mengikut peredaran masa dengan penambahan bahan seperti udang galah, udang karang ("lobster") atau tulang kaki lembu yang dikenali juga sebagai "gear box".[3][11]
Ia juga lebih lazim dikenali sebagai 'mi bandung Muar' yang telah menjadi makanan terkenal dan kegemaran di merata Malaysia juga termasuk negara jiran Singapura,[12][13] namun masih diakui dan diketahui umum bahawa mi bandung asli Muar adalah yang terbaik dan terpilih untuk dijamah.[2][3][14][15][16] Ia juga dikatakan kegemaran Sultan Johor, Sultan Ibrahim, mantan Presiden Singapura, S R Nathan dan juga jurumasak selebriti antarabangsa serta usahawan restoran, Chef Wan.[17]
Mi bandung tidak seharusnya dikelirukan dan disalah anggap berasal atau berkaitan dengan Bandung, suatu tempat di Indonesia kerana kedua-duanya tiada hubungan langsung meskipun namanya digelar sedemikian.[5][18]