Udon (うどん,饂飩 ) adalah salah sejenis mi yang sudah dikenal di Jepun sejak dahulu, dibuat dari tepung gandum dan berbentuk tebal serta agak lebar.
Sesuai dengan piawai JAS, udon berbentuk bulat seperti paip halus berdiameter lebih 1.7 mm, sedangkan udon berbentuk pipih memiliki lebar lebih 1.7 mm. Hiyamugi kelihatan serupa dengan udon namun lebih halus. Hiyamugi mempunyai diameter 1.2-1.7 mm dan ketebalan 1.0-2.0 mm. Selain disebut Hiyamugi, udon yang halus juga disebut Hosoudon.
Tepung gandum berprotein sederhana atau rendah dicampur dengan air dan sedikit garam untuk membuat adunan udon. Setelah adunan dipotong-potong, udon boleh terus direbus. Udon rebus biasanya dimakan bersama kuah yang diperbuat daripada dashi dengan tambahan kicap masin yang disebut tsuyu. Di Jepun barat, kuah udon berwarna perang muda dan cair kerana memakai kicap cair (usukuchi shōyu). Sedangkan di Jepun timur, kuah udon berwarna gelap hampir hitam kerana memakai kicap pekat (koikuchi shōyu).
Di Jepun, udon merupakan makanan rakyat, murah dan dimakan sebagai pengganti nasi. Orang Jepun sejak dahulu sudah sinonim dengan udon dan sering dimakan beramai-ramai sewaktu keramaian atau perayaan. Kepelbagaian cara memasak dan jenis lauk yang digunakan berbeza-beza bergantung pada daerah di Jepun.
Pada zaman kuno, udon disebut sebagai "undon". Kononnya, orang Jepun mengenalinya pada abad pertengahan sebagai makanan asal Cina. Hingga sekarang, mi wantan dalam dialek Wu ditulis sebagai 餛飩 dan dibaca sebagai undon.
Dalam kitab Engishiki, "undon" diperkenalkan sebagai salah satu jenis makanan dari dinasti Tang. Tapi "undon" zaman itu lebih menghampiri wantan kerana berupa daging yang dibungkus tepung yang digilis tipis.
Udon kini dahulunya disebut Kirimugi, dan mula disebut "udon" sejak zaman Edo. Pada waktu itu, "udon" adalah nama untuk sejenis masakan berupa kirimugi yang dimakan dengan kuah hangat, atau didinginkan dengan air sejuk setelah direbus.
Menurut pembahagian yang dibuat orang awam, udon sinonim dengan Jepun barat sedangkan soba sinonim dengan Jepun timur. Pembahagian ini tidak sepenuhnya benar, banyak wilayah di Jepun timur yang mengenali kedua-dua soba dan udon.
Udon sudah terkenal di kalangan penduduk Edo sejak zaman Edo. Dalam tempoh pertama zaman Edo, soba yang berbentuk mi belum dikenal. Ketika orang masih menikmati tepung soba dalam bentuk Sobagaki, udon sudah merupakan mi yang terkenal. Tapi setelah mi soba dikenali yang kepopularannya hingga ke rumah-rumah dan restoran khas soba (sobaya), udon bukan lagi makanan popular Edo.
Di Tokyo dan sekitarnya, restoran khas udon memang tidak banyak dijumpai berbanding di daerah Kansai. Sebaliknya, di daerah Kansai, amat sukar menemui restoran khas soba. Dalam menu penjual udon di daerah Kansai biasanya juga tersedia soba. Selain itu, restoran yang menyediakan soba sering menyebut dirinya restoran udon.
Kepopularan Sanuki udon pada tahun 2000 sempat membuka peluang bagi pengembangan restoran udon bercawangan di wilayah Kanto. Sayangnya, sejak tahun 2004, minat orang ramai terhadap Sanuki udon semakin menurun. Di daerah asal Sanuki udon di Kagawa, hanya tinggal sedikit penjual udon yang mahu memasukkan soba ke dalam menu.
Kuah udon di daerah Kanto berbeza dengan kuah udon di daerah Kansai. Di daerah Kanto, kuah berwarna gelap dan terasa lebih masin. Sedangkan di daerah Kansai, kuahnya agak jernih dan tidak masin.
Di daerah Kanto, kuah udon secara umum dibuat berdasarkan sukatan untuk membuat kuah soba. Kuah udon ala Kanto dibuat daripada campuran dashi dan kaeshi (mirin dan gula yang dimasak bersama kicap). Di daerah Kansai, kuah udon berupa dashi yang dibuat daripada campuran berbagai bahan seperti: kombu, sababushi, katsuobushi, shiitake, dan niboshi. Ditambah kicap cair yang warnanya tidak terlalu gelap, kuah udon yang dihasilkan berwarna hampir jernih.
Kuah udon di daerah Kanto sering dianggap terlalu masin bagi orang Kansai, malah dari rupanya pun dapat dinilai. Orang Kansai sering tidak mahu memakan udon Kanto yang kuahnya berwarna gelap hingga dasar mangkuknya tidak kelihatan. Masin atau tidak sebenarnya tidak boleh ditentukan dari warna kuah. Kicap pekat yang digunakan di daerah Kanto hanya memiliki aroma dan warna yang lebih pekat. Sedangkan kadar garamnya kira-kira hampir sama dengan kicap cair di daerah Kansai.
Sebagai jalan tengah, restoran udon di daerah Kanto perlu menulis udon yang dijualnya sebagai ala Kansai atau ala Kanto. Shiga, Gifu, Aichi, dan Shizuoka sering digunakan sebagai sempadan memisahkan udon ala Kansai dan udon ala Kanto. Di tempat-tempat tersebut boleh ditemui udon dalam dua versi.
Pembahagian udon ala Kanto dan ala Kansai boleh juga ditemui digerai-gerai penjual mi soba yang ada di dalam stesen JR sepanjang jalur utama Tokaido. Kuah yang digunakan penjual soba di stesen kereta api JR dari stesen Sekigahara ke arah timur, seperti stesen Nagoya dan Gifu adalah kuah pekat ala Kanto. Sebaliknya, penjual soba dari stesen Sekigahara ke arah barat semuanya menggunakan kuah cair ala Kansai.
Udon setelah direbus diletakkan kuah dan dimakan tanpa lauk selain hirisan daun bawang. Su-udon merupakan cara menikmati udon yang paling sederhana. Warna kuah Su-udon berbeza antara versi Kansai dan Kanto.
Kayaku udon adalah udon dengan pelbagai jenis lauk yang diletakkan di atasnya. Di daerah Kansai, "kayaku" bererti lauk tetapi istilah ini mungkin tidak difahami orang Kanto yang menyebut lauk sebagai "tanemono". Di beberapa tempat di Jepun barat, udon jenis ini terkenal sebagai "Okame udon," dengan lauk seperti naruto (hirisan bebola ikan dengan sedikit warna merah jambu), bayam dan daging ayam.
Aburage yang dimasak manis dengan kicap dan gula diletakkan di atas udon berkuah. Kitsune udon merupakan makanan popular di daerah Kansai. Di beberapa daerah, udon berkuah dengan aburage dikenali juga sebagai Tanuki udon.
Udon diletakkan di dalam mangkuk, di atasnya diletakkan telur mentah dan disiram dengan kuah dashi yang panas. Dalam bahasa Jepun, "tsukimi" bermaksud "melihat bulan", putih telur yang terkena kuah panas kelihatan seperti awan dan kuning telur pada udon kelihatan bulat seperti bulan.
Udon kuah yang di atasnya diletakkan tempura (udang atau sotong) dan kakiage.
Di daerah Kanto, udon kuah dengan taburan tenkasu disebut Tanuki udon. Di daerah Kansai, hidangan yang sama disebut Haikara udon, sedangkan di Kyoto, Tanuki udon bermaksud udon kuah yang di atasnya diletakkan hirisan aburage.
Kuah dibuat dari dashi ditambahkan serbuk kari dan dipekatkan sedikit dengan tambahan tepung. Daging yang digunakan adalah daging lembu.
Kare udon mula dikenali pada zaman Meiji, pada mulanya di anggap orang sebagai makanan luar yang aneh. Kini, hampir semua penjual udon di Jepun menyediakan kare udon.
Kare udon sering tidak disukai orang kerana mengotori baju sewaktu makan. Udon yang licin sukar diangkat dengan penyepit dan udon yang jatuh memercikkan kuah ke baju. Lapik sering disediakan restoran udon untuk tetamu yang takut bajunya kotor akibat makan udon.
Udon kuah dengan lauk daging lembu yang dimasak dengan kicap. Di daerah Kanto, daging yang dipakai adalah daging babi.
Chikara udon bermaksud "udon tenaga," iaitu udon berkuah dengan tambahan mochi di atasnya.
Udon kuah khas Kyoto dengan cendawan shiitake yang sudah dimasak dengan kicap, kamaboko, dan fu.
Udon dengan kuah yang dipekatkan dengan tepung. Udon jenis ini sering dijumpai di Kyoto dan dimakan bersama hirisan daun bawang dan parutan halia.
Udon biasanya dimakan bersama hirisan daun bawang. Jenis daun bawang yang digunakan juga berbeza antara daerah Kansai dan daerah Kanto.
Hingga pertengahan zaman Edo, udon juga sering dimakan dengan lada. Selain itu, udon sering diberi taburan serbuk cili (ichimi togarashi), serbuk cili bercampur pelbagai rempah (hichimi togarashi), dan parutan halia.
Di pelbagai daerah Jepun terdapat banyak kepelbagaian masakan udon, dan antara yang terkenal:
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Udon. |