Kanggaru | |
---|---|
Kanggaru kelabu timur betina dengan anaknya | |
Pengelasan saintifik | |
Alam: | |
Filum: | |
Kelas: | |
Subkelas: | |
Order: | Diprotodontia
|
Suborder: | Macropodiformes
|
Keluarga: | Macropodidae Gray, 1821
|
|
Kanggaru (Jawi: كڠݢارو ) atau kangguru (k. lama[1]) ialah sejenis marsupial yang tergolong dalam keluarga Macropodidae. Dalam kegunaan am istilah ini digunakan untuk menghuraikan spesies terbesar dalam keluarga tersebut, iaitu kanggaru merah, kanggaru antelop, kanggaru kelabu timur dan kanggaru kelabu barat dalam genus Macropus.[2] Kanggaru endemik kepada benua Australia. Kerajaan Australia menganggarkan 42.8 juta ekor kanggaru hidup dalam kawasan tuaian komersil negara tersebut pada tahun 2019, menurun daripada 53.2 juta ekor pada tahun 2013.[3]
Kanggaru mempunyai kaki belakang yang besar dan kuat untuk melompat, ekor yang besar dan berotot untuk mengimbangkan diri, serta kepala kecil. Kanggaru betina mempunyai kantung iaitu marsupium untuk melengkapkan lanjut perkembangan posnatum anak. Secara amnya, kanggaru yang lebih besar lebih mampu menyesuaikan diri kepada perubahan yang dibawa ke landskap Australia oleh manusia, sementara kebanyakan saudaranya yang lebih kecil pula diancam kepupusan.
Kanggaru merupakan satu ikon negara Australia: haiwan ini sering ditampilkan pada jata negara ini[4] dan bentuk matawangnya[5] serta juga digunakan oleh kebanyakan pertubuhan sana termasuk syarikat penerbangan Qantas.[6] Banyak pasukan sukan Australia dinamakan sempena kanggaru; malah kanggaru juga banyak ditemui dalam filem, televisyen, mainan dan cenderamata di seluruh dunia. Kanggaru liar diburu sebagai sumber daging dan bulu, selain juga untuk peladang mempertahankan padang ragut bebiri mereka.[7]
Perkataan kanggaru (atau asalnya kangaroo dalam bahasa Inggeris) berasal daripada perkataan bahasa Guugu Yimidhirr gangurru yang merujuk kepada spesies kanggaru kelabu timur.[8][9] Nama tersebut julung kalinya dicatat sebagai "kanguru" pada 4 Julai 1770 dalam diari ahli alamiah Joseph Banks; catatan ini berlaku di tapak pekan Cooktown moden tepi Sungai Endeavour di mana kapal HMS Endeavour yang dipegang kuasa oleh Leftenan James Cook tersadai selama hampir tujuh minggu untuk membaiki kerosakan yang dialami selepas melanggar Terumbu Sawar Besar.[10]
Ada satu legenda terkenal mengenai nama kanggaru ini: Leftenan James Cook dan Joseph Banks sedang meneroka tanah Australia apabila mereka menemui haiwan terbabit. Mereka menanya seorang tempatan paling dekat dijumpa nama makhluk itu. Orang tersebut menjawab "kangaroo" yang dikatakan bermaksud "saya tidak faham kamu", lalu Cook mengambil apa yang didengarnya dari mulut orang tempatan itu menjadi nama haiwan ini.[11] Ahli anthropologi Walter Roth cuba membetulkan kesilapan ini seawal tahun 1898, tetapi sedikit sahaja orang yang ambil perhatian sehingga tahun 1972 apabila kajian ahli bahasa John B. Haviland bersama penutur bahasa Guugu Yimithirr dapat mengesahkan bahawa kata gangurru dalam bahasa mereka merujuk kepada spesies kanggaru berwarna gelap yang jarang ditemui.[11][12]
Kitab Vortaro tahun 1923 menakrifkan haiwan ini paing awalnya dalam perkamusan Melayu dengan gambaran seperti suatu "tikus berkantung".[1]
...kanggoeroe, saroepa binatang seperti tikoes, jang di peroetnja sebla loear ada kantong boeat kandoet anaknja.
Sumber utama
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Kanggaru |
The Kangaroo Genome Project Diarkibkan 2008-12-01 di Wayback Machine di Universiti Kebangsaan Australia