Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan | |
---|---|
Penghargaan | Sumbangan cemerlang dalam bidang kesusasteraan |
Negara | Sweden |
Disampaikan oleh | Akademi Sweden |
Ganjaran | 9 juta SEK (2017)[1] |
Anugerah pertama | 1901 |
Kini dipegang oleh | Kazuo Ishiguro (2017) |
Laman web rasmi | nobelprize.org |
Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan (Svensk: Nobelpriset i litteratur , bahasa Inggeris: Nobel Prize in Literature ) ialah penghargaan tahunan yang dikurniakan kepada mana-mana pengarang dari pelbagai negara yang "telah menghasilkan karya berkecenderungan idealistik yang paling cemerlang dalam bidang kesusasteraan" (den som inom litteraturen har producerat det utmärktaste i idealisk riktning) menurut wasiat Alfred Nobel.[2][3] Setiap tahun, Akademi Sweden memutuskan siapa yang bakal menerima hadiah ini dan mengumumkan pemenangnya pada awal Oktober.[4]
Setiap tahun, Akademi Sweden menghantar borang permintaan pencalonan untuk Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan. Kesemua ahli-ahli Akademi, ahli-ahli akademi dan persatuan kesusasteraan, profesor-profesor kesusasteraan dan bahasa, bekas pemenang Hadiah Nobel dalam kesusasteraan, dan presiden-presiden pertubuhan penulis dibenarkan menamakan seorang calon kecuali diri sendiri.[5]
Beribu-ribu borang permintaan dihantar setiap tahun, memulangkan kira-kira 50 cadangan. Cadangan ini mesti diterima oleh Akademi sebelum 1 Februari, selepas itu dikaji oleh Jawatankuasa Nobel. Pada April, senarai pencalonan dikurangkan kepada kira-kira 20 calon, dan pada musim panas dikurangkan kepada lima calon sahaja. Pada bulan-bulan berikutnya, dijalankan usaha mengkaji karya-karya calon yang layak tersebut. Pada Oktober, tiba masanya ahli-ahli Akademi mengundi, dan calon yang meraih lebih separuh undian dinamakan pemenang Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan. Proses pemilihan undian ini tak banyak bezanya dengan Hadiah-Hadiah Nobel yang lain.[6]
Sejak julung kali dianugerahkan, hadiah wang tunainya sering berubah-ubah dan kini berada pada nilai 10 juta krona Sweden.[7] Pemenangnya juga menerima sebutir pingat emas dan diploma Nobel serta diundang untuk bersyarah di "Minggu Nobel" di Stockholm; acara kemuncaknya ialah upacara penyampaian hadiah dan majlis jamuan pada 10 Disember.[8]
Rencana utama: Senarai penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan |