Ning Baizura | |
---|---|
Kelahiran | Ning Baizura binti Sheikh Hamzah 28 Jun 1975 |
Nama lain | Ning, Ning Dalton |
Pusat pendidikan | Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) |
Pekerjaan | Penyanyi, pelakon |
Tahun aktif | 1992–kini |
Pasangan | Omar Sharif Christopher Layton Dayton (k. 2008) |
Anak-anak | 1 |
Kerjaya muzik | |
Genre | Pop, R&B, Soul |
Instrumen | Vokal |
Syarikat rakaman | Warner Music Malaysia Artists United RIS Music Wijaya International Musica Studio's |
Pengkarya berkait | Hedi Yunus, Jay Jay, Nikki, Yanie, Nubhan, Shila Amzah, Jaclyn Victor |
Ning Baizura Sheikh Hamzah (lahir 28 Jun 1975) atau lebih dikenali dengan Ning Baizura ialah seorang penyanyi dan pelakon wanita Malaysia.[1][2][3] Dilahirkan di Kajang, Selangor, beliau memulakan kerjaya muzik pada usia 17 tahun setelah memenangi tempat ketiga di pertandingan Voices of Asia yang berlangsung di Kazakhstan.[4] Beliau menandatangani kontrak bersama pelbagai label rakaman termasuk Sony Music dan telah menerbitkan sebanyak 12 album studio.[5]
Dikenali sebagai penyanyi bersuara soprano dan kehebatan vokalnya yang versatil dan unik,[1][6] antara lagu-lagu yang menjulang nama Ning ialah "Curiga", "Kau dan Aku", "Asmara", "Kembali", "Selagi Ada... (Cinta)", "Awan Yang Terpilu" dan "Bukan Wanita Sempurna".[7] Selain bidang muzik, Ning juga berkecimpung dalam bidang lakonan. Antara filem-filem lakonannya ialah "Gemilang" (1997), "Maria Mariana II" (1998), "Mimpi Moon" (2001), "Lady Boss" (2005) dan "Diva" (2007). Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam industri muzik dan lakonan, termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian.[8][9]
Ning dilahirkan pada 28 Jun 1975 di Kajang, Selangor kepada kedua ibu bapa iaitu Allahyarham Sheikh Hamzah bin Sheikh Mohammed dan Satilah Abdullah.[10] Beliau mempunyai darah kacukan Arab, Melayu, Belanda, India, Cina dan Jawa.[11][12] Sewaktu beliau dilahirkan, beliau mengalami penyakit kuning dan bapanya, memutuskan untuk memanggilnya Ning, yang dipendekkan dari perkataan 'kuning'.[13] Beliau mempunyai adik-beradik seramai 8 orang dan merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Convent Kajang.[11]
Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian seawal usia empat tahun. Ketika beliau berusia sembilan tahun, beliau mula memasuki kelas vokal Soprano yang telah diajar oleh pemuzik profesional Indonesia, Siti Chairani. Pada waktu itu, beliau juga menyanyi bersama Koir Kebangsaan di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan telah ditawarkan biasiswa penuh untuk belajar dalam bidang muzik di Vienna Conservatoire tetapi terpaksa ditolak atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Setelah bakatnya digilap, akhirnya Ning telah berjaya menyertai pertandingan Voice Of Asia di Kazakhstan dan telah berjaya memenangi tempat ketiga.[14]
Ning akhirnya telah melancarkan album sulung beliau iaitu "Dekat Padamu" pada September 1993.[15] Lagu pertama yang telah melonjakkan nama beliau ialah "Curiga"[16] sekaligus telah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik Pertama, menewaskan calon lain termasuk Nana Nurgaya dan Leina Hangat.[17][18] Selain itu, bakat luar biasa yang dimilikinya telah membawa namanya hingga merentasi ke beberapa negara seperti di Jepun, Singapura, Indonesia, Brunei dan beberapa lagi negara lain. Ia sekaligus mengiktiraf Ning sebagai artis antarabangsa setanding dengan Anita Sarawak dan Sharifah Aini.[19]
Album kedua Ning, yang menggunakan namanya sebagai tajuk album telah dikeluarkan pada lewat 1994. Untuk album ini, beliau memilih komposer dari negara luar termasuk Jepun, Thailand dan Indonesia.[20][21] Single pertama yang dikeluarkan untuk album ini ialah "Kau & Aku". Lagu itu juga telah dirakamkan semula oleh kumpulan Kool sebagai tanda penghargaan kepada Ning. Album ini merupakan album terakhir Ning bersama Sony Music.
Zaman kejatuhan Ning bermula ketika di pertengahan 1990-an. Namanya lesap begitu sahaja hingga menyebabkan beliau telah mengundurkan diri buat seketika. Selama beliau menyepikan diri, ramai pihak menyatakan bahawa kemananya Ning menghilangkan diri. Akhirnya, Ning berjaya bangkit semula dalam bidang seni apabila beliau diberi penghormatan beraksi bersama kumpulan Freedom selama dua hari di Matahari Cafe Bukit Antarabangsa pada 1 dan 2 Mei 1998.[22][23] Beliau kemudian muncul dengan album ketujuhnya yang merupakan album Inggeris kedua beliau iaitu "Natural Woman" (2001) yang diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat rakaman di Jepun.
Pada 26 Februari 2003, Ning muncul dengan album kelapan, "Selagi Ada...". Antara album yang dikeluarkan sebagai single ialah "Kembali" dan "Selagi Ada... (Cinta)".[24][25] Menerusi album ini, Ning telah dicalonkan bagi kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik di dalam Album (Wanita) di Anugerah Industri Muzik ke-11. Pada tahun yang sama, beliau dinobatkan sebagai pemenang kategori Vokal Wanita Pilihan di Anugerah Era 2003 sekaligus menamatkan dominasi Siti Nurhaliza yang memenangi kategori sama selama 2 tahun berturut-turut.[26][27] Setahun berikutnya, album kesembilannya, "Erti Pertemuan" telah dikeluarkan. "Awan Yang Terpilu" dikeluarkan sebagai single pertama.[28]
Ning ialah antara artis Malaysia yang menyumbangkan suara untuk sebuah lagu khas bertajuk "Suluhkan Sinar". Diterbitkan oleh KRU dan dikeluarkan pada Januari 2005, lagu ini ditujukan khas kepada mangsa-mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 2004 dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak. Artis-artis lain yang terlibat dalam projek ini ialah peserta-peserta "Akademi Fantasia", Erra Fazira, Dayang Nurfaizah, Alleycats, Jaclyn Victor, AC Mizal, Spider dan Anita Sarawak.[29] Juga pada tahun yang sama, beliau mengadakan konsert jelajah di Eropah, iaitu Ning Europe Summer Tour 2005.[30][31]
Selain berjaya menaikkan namanya semula dalam bidang seni, Ning juga berjaya mendidik dua penyanyi baru, iaitu Nikki dan Yanie yang merupakan artis di bawah syarikat rakamannya.[32] Ning dan bekas pengurusnya, Vernon Kedit-Jolly menuju ke London, England untuk rakaman album Ning di sana. Mereka telah berbincang tentang pemasaran Ning di sana. Setelah berbincang, akhirnya pihak syarikat rakaman di sana bersetuju untuk memasarkan album Ning di beberapa negara Eropah di sana. Pada 28 Februari 2008, album bahasa Inggeris kedua Ning, East To West telah dikeluarkan. "Age of Pollution" telah dikeluarkan sebagai single pertama untuk album ini.[33]
Ning merupakan antara 120 selebriti popular tanah air yang menjayakan projek muzik di bawah kendalian Pete Teo, Malaysian Artistes For Unity (MAFU) yang bertujuan bagi meraikan kepelbagaian budaya dan idea Bangsa Malaysia menerusi lagu dan video. Selebriti yang terlibat termasuk Afdlin Shauki, Awie, Maya Karin, Jason Lo, Sharifah Amani, Adibah Noor dan lain-lain.[34]
Pada 6 Januari 2011, Ning bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah melancarkan sebuah album kolaborasi yang bertajuk "3 Suara" yang mengandungi 10 lagu termasuk "Di Mana Di Mana" dan "Beribu Sesalan" yang dikeluarkan sebagai single utama.[35][36] Album ke-12 Ning, "Dewa" dikeluarkan tidak lama kemudian.[37] Pada 2 Disember, Ning membuat persembahan di konsert Ning @ KL Live.[38]
Ning mengadakan konsert solonya, Konsert Pelangi Untukmu Ning Baizura yang pada asalnya dijadualkan akan diadakan pada 21 September 2013, namun ditunda kepada 16 November.[39] Album ke-13 Ning, "Kekal" dikeluarkan pada 29 November. Album ini memuatkan sebanyak 11 lagu yang mana 4 daripadanya ialah lagu baru manakala 7 lagi ialah lagu-lagu lamanya yang diberi nafas baru.[40] Pada tahun 2017, Ning melancarkan lagu Raya pertamanya, "Syawal Ini" hasil ciptaan Alwyn Santiago dan liriknya ditulis oleh Shah Shamshiri.[41]
Pada Julai 2020, Ning merakamkan single terbaharu, "Perwira" hasil nukilan Aubrey Suwito dan Ahmad Izham Omar yang ditujukan khas kepada tentera negara. Lagu ini merupakan lagu tema kempen Hari Pahlawan 2020 dan diterbitkan secara kerjasama antara Media Prima Berhad dan Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).[42][43][44]
Kerjaya lakonan Ning bermula pada 1996 apabila beliau membintangi sitkom "Lontong" arahan Azwan Ali lakonan Ogy Ahmad Daud dan Salih Yaacob, yang mana beliau merupakan pelakon undangannya dengan memegang watak sebagai Eton. Pada tahun 1997, beliau menerima tawaran Yusof Haslam berlakon dalam filem "Gemilang" yang mana beliau berlakon bersama Erra Fazira dan Hans Isaac. Dalam filem ini, Ning memegang watak sebagai Rita. Kemudian pada tahun berikutnya, beliau berlakon dalam filem "Maria Mariana II" bersama Erra, Ziana Zain dan Awie, memegang watak sebagai Rozie. Pada tahun 2000, Ning melakonkan watak Nona Mansoor dalam filem romantik "Mimpi Moon" arahan Shuhaimi Baba lakonan Rashidi Ishak dan Kavita Kaur. 3 tahun kemudian, Ning berlakon dalam filem pendek "Malaikat di Jendela" arahan Osman Ali yang mana beliau melakonkan watak Hamidah, seorang bidan kampung yang kehilangan suami dan anaknya akibat AIDS.[45] Ia turut dibintangi oleh Saliza Ali, Soffi Jikan dan Haeriyanto Hassan.[46]
Pada tahun 2005, beliau berlakon bersama Saiful Apek dan Yusry KRU dalam filem komedi romantik "Lady Boss" arahan Abdul Razak Mohaideen. Dalam filem ini, Ning memegang watak sebagai Sheila, seorang bos wanita yang garang dan angkuh.[47] Pada tahun 2007, beliau memegang watak Kartika dalam filem "Diva" arahan Sharad Sharan.[48][49][50] Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon dari Malaysia dan Indonesia. Ditayangkan pada 24 Disember 2009 untuk keluaran tayangan Malaysia, "Muallaf" arahan Yasmin Ahmad telah memperlihatkan Ning memegang watak ibu tiri Rohani dan Rohana, masing-masing dilakonkan oleh Sharifah Amani dan Sharifah Aleysha. Ning membintangi filem biopik "Mahathir: The Journey" arahan Hatta Azad Khan yang mana beliau melakonkan watak sebagai Marina Mahathir, anak sulung bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Beliau mengakui mengalami kesukaran untuk mendekati Marina bagi mendapatkan pandangan, namun bergantung kepada kajian yang dibuat.[51] Dari 13 hingga 28 April 2021, Ning membintangi drama "Madam E-Wallet" dengan memegang watak sebagai Dato' Qistina. Pada tahun 2022, beliau memegang watak Puan Sri Lily dalam drama "Kuasa".[52]
Ning juga turut berkecimpung dalam bidang perniagaan. Beliau memulakan perniagaan fesyen di bawah pengurusan StunNing Creations yang menghasilkan produk pakaian lelaki dan wanita serta kasut dan aksesori.[53]
Pada April 2018, beliau membuka sebuah restoran masakan Melayu yang dinamakan Tudung Periuk yang beroperasi di Plaza Damas, Damansara.[54] Ning turut memanfaatkan ruang di restoran itu sebagai mini galeri yang menempatkan gambar peribadi dan kenangan sepanjang 25 tahun menjadi anak seni.[55] Ning mengumumkan pada April 2019 bahawa restorannya itu telah ditutup pada Ogos 2018 selepas 3 bulan beroperasi.[56]
Beliau telah berkahwin dengan Omar Shariff Christopher Layton Dalton yang berbangsa Inggeris. Mereka mula bertemu di majlis perkahwinan rakan baik Ning di Bali, Indonesia. Hubungan mereka semakin akrab selepas mengikat tali pertunangan bersama. Mereka telah mengikat tali pertunangan pada 17 Julai 2007.[57] Pernikahan dua pasangan ini telah berlangsung pada 31 Januari 2008 di Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq di Bangsar, Kuala Lumpur.[58][59] Majlis resepsi mereka diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE dan telah dihadiri seramai 2,000 tetamu termasuk rakan-rakan artis.[60] Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Ryan Sky Dalton yang dilahirkan pada 2013. Suami Ning, Dalton mempunyai 2 anak dari perkahwinan terdahulu.[61]
Di waktu lapang, Ning mempunyai hobi menyelam skuba.[62] Bapanya, Sheikh Hamzah meninggal dunia akibat sakit tua di usia 86 tahun pada 31 Ogos 2017.[63]
Pada tahun 1995, Ning mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat rakaman antarabangsa Sony Music Entertainment dan berjaya dalam kesnya, termasuk membebaskan diri daripada kontrak rakamannya. Kes beliau bukan sekadar mendapat liputan meluas media massa tempatan, bahkan media antarabangsa ketika itu termasuk majalah Billboard.[64][65][66]
Di sebalik populariti Ning yang begitu hebat suatu ketika dahulu, beliau juga sering menjadi mangsa kontroversi. Penampilan dan personaliti diri Ning juga sering dikritik oleh ramai pihak termasuklah tokoh-tokoh ahli politik.[67] Pernah suatu ketika dahulu beliau memperkatakan bahawa jika beliau ingin melakukan persetubuhan atau seks, beliau akan melakukan hubungan tersebut bersama dengan lebih dari seorang. Namun begitu, beliau akhirnya menarik balik kenyataanya itu dengan meminta maaf kepada khalayak umum.[68][69]
Ning telah mendedahkan dalam majalah FHM (For Him Magazine) versi Malaysia isu Julai 2000 bahawa dia antara lain lebih menggemari seluar dalam G-string dan sukakan seks di waktu pagi. Selain itu, dia juga berangan-angan melakukan hubungan kelamin dengan lima orang lelaki sekaligus.[70][71][72] Pada awalnya, temu ramah yang dijalankan dalam bahasa Inggeris ini tidak disedari masyarakat umum. Namun, apabila akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan terjemahan temu ramah itu beberapa minggu kemudian, semua pihak mengecam Ning.[73] Ning akhirnya disuruh hadir ke Kementerian Penerangan Malaysia manakala pemeriksaan terhadap majalah FHM oleh pihak berkuasa adalah lebih ketat berbanding majalah-majalah lain.[74]
Pada 12 Oktober 2010, Ning dibicarakan berhubung kes saman oleh seorang penerbit album dan pengurus warga Itali Luigi Bajona berjumlah RM1 juta.[75] Peguam Harleen Kaur mewakili Bajona dan Richard Wee Lopez bagi pihak Ning Baizura. Pada 7 Julai 2009, Bajona telah menguruskan persembahan Ning di Itali termasuk menyanyi di hadapan Prince Albert of Monaco di Paris, mendakwa Ning telah memfitnahnya pada 24 Januari 2009 melalui laman sosial Facebook.[75] Bajona sepatutnya mempromosikan dirinya dalam bidang nyanyian di peringkat antarabangsa tetapi hanya menyanyi di kelab-kelab kecil, malah beliau tidak menerima sebarang bayaran.[75]
Pada tahun 2001, Ning Baizura telah mencipta rekod tersendiri apabila beliau menjadi artis Malaysia pertama menandatangani kontrak dengan stesen televisyen Singapura, sekaligus menerima pengiktitafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR).
Selain itu, Ning juga pernah menjadi duta untuk beberapa jenama terkenal dan model untuk pelbagai produk. Antaranya seperti Adidas, Guess, Christian Dior, The Charat Club, Formula One, Time, Sony, Imedeen[76] dan banyak lagi.[77] Beliau merupakan artis pertama merasmikan sebuah kelab hiburan terkenal iaitu Hard Rock Cafe di Beijing, China. Beliau juga ernah mengadakan persembahan secara eksklusif yang telah ditonton oleh kerabat diraja Eropah iaitu Raja Elbert. Ning juga telah menubuhkan beberapa syarikat termasuk Ning Baizura International, Ning, Inc. dan Ning & Associates serta HappenNings yang kesemuanya berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya.
Rencana utama: Diskografi Ning Baizura |
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
1997 | Gemilang | Rita | Filem pertama |
1998 | Maria Mariana II | Rozie | |
1999 | Bara | Zety | |
2000 | Mimpi Moon | Nona | |
2004 | Malaikat di Jendela | Hamidah | Filem pendek |
2005 | Lady Boss | Sheila | |
2007 | Diva | Kartika | |
2009 | Muallaf | Datin | |
2010 | Magika | Puteri Gunung Ledang | |
2011 | Cun! | Candy | |
2012 | Lagenda Budak Setan 2: Katerina | Rafidah | |
2021 | Mat Bond Malaya | Ejen 4 | Penampilan khas |
2024 | Korsaroff | ||
TBA | Mahathir: The Journey | Marina Mahathir | Pos-produksi |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV |
---|---|---|---|
1995 | Lontong | Eton | TV3 |
2003 | Azura | Azura | VCD |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV |
---|---|---|---|
2021 | Madam E-Wallet | Dato' Qistina | TV3 |
2022 | Kuasa | Puan Sri Lily | Astro Citra |
TBA | Kuasa: One Special. Three Heirs. No More Mercy |
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2017 | Sepahtu Reunion Live | Mak | Astro Warna | Artis Jemputan: Episod "Potong Jangan Tak Potong" |
Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
1991 | Voice of Asia | Terbuka | Dirinya sendiri | Menang |
1993 | Anugerah Industri Muzik Pertama | Artis Baru Terbaik | Menang | |
Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) | Tercalon | |||
Video Muzik Terbaik | "Curiga" | Tercalon | ||
Album Terbaik | Dekat Padamu | Menang | ||
1994 | Anugerah Juara Lagu ke-9 | Balada | "Curiga" | Menang |
1995 | Anugerah Juara Lagu ke-9 | Pop Rock | "Kau dan Aku" | Menang |
Anugerah Industri Muzik ke-2 | Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) | Dirinya sendiri | Tercalon | |
Album Pop Terbaik | Ning | Menang | ||
Album Terbaik | Tercalon | |||
1996 | Anugerah Industri Muzik ke-3 | Video Muzik Terbaik | "You and I" | Tercalon |
Lagu Terbaik | "Teguh" | Tercalon | ||
1997 | Anugerah Media Hiburan | Cover Media Tercantik | Dirinya sendiri | Menang |
1998 | Anugerah Industri Muzik ke-5 | Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) | Tercalon | |
Album Pop Terbaik | Tercalon | |||
2002 | Anugerah Industri Muzik ke-9 | Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu | "Curiga" (bersama Fairuz Hussein) | Tercalon |
Anugerah Parti Cit Cat Azwan | Anugerah Ratu Diva Soul | Dirinya sendiri | Menang | |
2003 | Anugerah Era 2003 | Vokal Wanita Pilihan | Menang | |
2004 | Anugerah Industri Muzik ke-11 | Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) | Tercalon | |
Album Pop Terbaik | Selagi Ada... | Tercalon | ||
Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu | "Kembali" | Tercalon | ||
"Selagi Ada Cinta" | Tercalon | |||
Lagu Terbaik | "Kembali" | Tercalon | ||
"Selagi Ada Cinta" | Menang | |||
2005 | Anugerah Industri Muzik ke-12 | Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) | Dirinya sendiri | Tercalon |
Album Pop Terbaik | Erti Pertemuan | Menang | ||
Kulit Album Terbaik | Menang | |||
Video Muzik Terbaik | "Awan Yang Terpilu" | Menang | ||
"Senang Tari" | Tercalon | |||
Lagu Terbaik | "Awan Yang Terpilu" | Menang | ||
"Erti Pertemuan" | Tercalon | |||
Album Terbaik | Erti Pertemuan | Tercalon | ||
2006 | Anugerah Industri Muzik ke-14 | Lagu Terbaik | "Drama" (bersama Nikki Palikat & Yanie Julkarim) | Tercalon |
2011 | Anugerah Industri Muzik ke-18 | Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu | "Beribu Sesalan" (bersama Jaclyn Victor & Shila Amzah) | Menang |
Lagu Pop Terbaik | Tercalon | |||
Album Terbaik | 3 Suara | Tercalon | ||
Anugerah Juara Lagu ke-26 | Naib Juara Keseluruhan | "Beribu Sesalan" | Menang | |
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 | Artis Duo/Berkumpulan Popular | 3 Suara | Menang |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Ning Baizura |