Margasatwa | |
---|---|
Berasal dari | Kuala Lumpur, Malaysia |
Genre | |
Tahun aktif | 2016–kini |
Syarikat rakaman | Luncai Emas |
Laman sesawang | margasatwa |
Ahli |
|
Margasatwa (sebutan mergastua) ialah sebuah kumpulan rock indie Malaysia yang ditubuhkan pada 2016. Ahli kumpulan ini terdiri daripada Kimal (vokal), Fadhil Imran James (gitar utama), Shahir Samsi (gitar kedua), Shadiq Sapian (bes) dan Syahir Majid (dram). Kumpulan ini terkenal dengan mengetengahkan elemen muzik Melayu dalam kebanyakan karya mereka. Album sulung senama kumpulan ini dikeluarkan pada Oktober 2019.[1][2][3]
Margasatwa ditubuhkan pada 2016, terdiri daripada lima ahli yang berasal dari negeri berlainan di Malaysia – Kimal (vokal), Fadhil Imran James (gitar utama), Shahir Samsi (gitar kedua), Shadiq Sapian (bes) dan Syahir Majid (dram).[2][4][3]
Pada akhir 2017, mereka menandatangani kontrak rakaman bersama Luncai Emas milik M. Nasir,[5] seterusnya melancarkan single sulung bertajuk "Ego" yang menceritakan hubungan yang bergolak akibat ego seseorang.[6]
Tamasya Anak Muda, sebuah konsert anjuran Luncai Emas diadakan pada 3 November 2018 di The Bee, Publika. Margasatwa ialah antara artis naungan Luncai Emas yang mengadakan persembahan dalam konsert yang turut dijayakan oleh Pitahati, Iqbal M dan Ramayan.[7]
Album sulung kumpulan ini, yang menggunakan nama kumpulan sebagai judul album, dikeluarkan pada 10 Oktober 2019.[1][3] Ia memuatkan 11 lagu termasuk single pertama, "Ego" yang dikeluarkan terlebih dahulu dan single kedua, "Asmara Botol Kaca".[1]
Pada Disember 2020, Margasatwa menyertai pertandingan Levi's Music Project yang pertama kali diadakan di Malaysia. Menerusi lagu "Yang Asli" hasil nukilan mereka, Margasatwa telah dinobatkan sebagai juara pertandingan sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000. Dalam pertandingan ini, mereka menewaskan tiga finalis lain termasuk Datuk Maw, Alien Lipstick Fire dan Mayabayu.[2][8] Margasatwa mendedahkan mereka tidak bercadang untuk menyertai mana-mana pertandingan dan hanya memberi fokus kepada kerjaya seni muzik mereka.[9]
Margasatwa mengetengahkan sentuhan muzik rock era 1970-an hingga 1990-an.[1][3] Mereka menyifatkan itu sebagai satu keperluan terus menyuntik identiti bangsa dalam setiap karya dicipta, namun enggan melihat kesenian muzik Melayu pudar.[1]
Mereka juga dikenali dengan menyulam elemen budaya Melayu pada susunan muzik, nyanyian dan runut bunyi bagi memastikan identiti kemelayuan tidak dilupakan pendengar.[1] "Itu saja yang kita ada (identiti). Tidak perlu taasub dengan muzik dibawa dari Barat sedangkan kita pun sudah ada apa yang mereka ada,” menurut Kimal dalam temubual bersama Malaysiakini.[1]
Muzik mereka juga dipengaruhi oleh elemen dan rentak irama Melayu asli, selain menggunakan beberapa alat muzik tradisional seperti keroncong dan zapin, manakala untuk alat muzik, mereka menggunakan rebana dan gamelan.[1] Margasatwa juga dikenali dengan persembahan konseptual yang unik seperti membaca puisi, berlakon dan melelong lukisan mereka sendiri.[4]