AFA: Vokal | ||||||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| ||||||||||||||||||||||||||||||||
Huruf vokal bersebelahan titik "•" mewakili: vokal tak bundar • vokal bundar |
Dalam bidang fonetik, kebundaran vokal ialah betapa jadinya pembundaran bibir ketika menyebut vokal, iaitu pembibiran vokal. Apabila menyebut vokal bundar, bibir membentuk bukaan berbentuk bulat, manakala vokal tak bundar (atau hampar) pula disebut dengan bibir terkendur. Dalam kebanyakan bahasa, vokal depan selalunya tak bundar, manakala vokal belakang cenderung terbundar; tetapi wujudnya sebilangan bahasa, misalnya bahasa Perancis dan bahasa Jerman, yang membezakan vokal depan bundar dan tak bundar pada ketinggian yang sama, sementara bahasa Vietnam pula membezakan vokal belakang bundar dan tak bundar pada ketinggian yang sama.
Mengikut carta vokal Abjad Fonetik Antarabangsa, vokal bundar terletak di sebelah kanan setiap pasangan vokal. Juga disediakan tanda diakritik, iaitu ɔ̹ ɔ̜, untuk menandakan lebih atau kurang pembundarannya. Tanda-tanda tersebut juga digunakan bersama aksara konsonan untuk menentukan tahap pembibiran konsonan.
Terdapat dua jenis pembundaran vokal, iaitu terjulur dan terketap.[1] Bagi pembundaran terjulur, penjuru-penjuru mulut dirapatkan sambil bibir menjulur bagaikan tiub, hingga kelihatan permukaan dalamnya (endolabial). Bagi pembundaran terketap, penjuru-penjuru mulut juga dirapatkan, tetapi bibir juga dirapatkan secara melintang ("terketap") tanpa menjulur, dengan hanya kelihatan permukaan luarnya (eksolabial). Catford (1982:172) memerhati bahawa vokal bundar belakang dan pusat, seperti /o/ dan /u/ dalam bahasa Jerman, biasanya terjulur, manakala vokal bundar depan, seperti /ø/ dan /y/ juga dalam bahasa Jerman, biasanya terketap. Vokal terketap belakang atau pusat jarang sekali ditemui,[2] apatah lagi perbezaan antara kedua-dua jenis hanya terjadi dalam sebilangan kecil bahasa.[3]