Kampung Bukit Baling | |
---|---|
Koordinat: 6°16′08″N 100°40′37″E / 6.269°N 100.677°EKoordinat: 6°16′08″N 100°40′37″E / 6.269°N 100.677°E[1] | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Kedah |
Daerah | Padang Terap |
Mukim | Padang Terap Kanan |
Kawasan parlimen | Padang Terap |
Kawasan negeri | Kuala Nerang |
Pentadbiran | |
• Kerajaan tempatan | Majlis Daerah Padang Terap |
• Ahli Parlimen (Padang Terap) | Nurul Amin Hamid (PN) |
Aras | 49 m (161 ft) |
Zon waktu | UTC+8 (MST) |
• Musim panas (DST) | UTC+8 (tiada) |
Poskod | 06300 Kuala Nerang |
Kod kawasan | +604 |
Plat pendaftaran kenderaan | K |
Kampung Bukit Baling (Jawi: كامڤوڠ بوكيت باليڠ ), juga dieja sebagai Kampong Bukit Baling merujuk kepada sebuah kampung di dalam kawasan pentabdiran Mukim Padang Terap Kanan, di tengah Daerah Padang Terap, salah satu daerah di Kedah, Malaysia.[1][2] Poskod bagi Kampung Bukit Baling ialah 06300 Kuala Nerang.
Tinjauan awal mengenai kewujudan Kampung Bukit Baling telah dilakukan pada September 1928 oleh Jabatan Ukur Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS Survey), di mana telah membuktikan bahawa kependudukan di Kampung Bukit Baling telah dimulakan sejak tahun 1920-an. Nama "Kampung Bukit Baling" turut didokumentasikan dalam peta topografi Malaya 1945 berskala 1:63,360, di garisan utaraan 39 dan garisan timuran 74 (rujukan grid RG3974, dengan nama Kg. Bt. Baling).[3][4] Kedudukan koordinat mengenai Kampung Bukit Baling pula direkodkan dalam gazetir, "Gazetter (No. 11) – Malay States" yang diterbitkan pada tahun 1944, karya Pejabat Hidrografik, Jabatan Tentera Laut Amerika Syarikat dengan kedudukan koordinat di 6°16′N 100°41′E / 6.267°N 100.683°E.[2]
Kampung Bukit Baling secara rasmi merupakan salah satu kampung dalam pentadbiran Mukim Padang Terap Kanan, iaitu mukim di kawasan pedalaman Daerah Padang Terap.[3][4]
Berdasarkan bentuk muka bumi kawasan setempat, Kampung Bukit Baling terletak di kawasan tanah pamah, di ketinggian dari min aras laut mencecah 49 meter (160.8 ka).[1] Terdapat beberapa ciri-ciri pandang darat fizikal seperti sungai dan bukit yang berhampiran dengan Kampung Bukit Baling. Titik tertinggi di persekitaran Kampung Bukit Baling ialah terletak di selatannya, yang dikenali sebagai Bukit Langsat, dengan ketinggian mencecah 113 meter (370.7 ka) dari aras laut. Di samping itu juga terdapat beberapa anak sungai Sungai Padang Terap di sini.[3][4] Ia terletak kira-kira 400 kilometer (248.5 bt) ke arah utara dari ibu negara Malaysia, iaitu Kuala Lumpur.
Kampung Bukit Baling terletak di bahagian tengah Daerah Padang Terap dalam bahagian selatan Mukim Padang Terap Kanan. Petempatan yang terdekat dengan Kampung Bukit Baling iaitu, Kampung Lubok Keriang di bahagian utara, Kampung Tandop Tok Smat, Kampung Bukit Ular, Kampung Padang Kempas dan Kampung Hoikong di bahagian timur laut, Kampung Buhdru dan Kampung Tanah Merah di bahagian timur, Kampung Klong Kesai dan Kampung Padang Setol di bahagian tenggara, Kampung Bukit Langsat, Kampung Rawa dan Kampung Musa di bahagian selatan, Kampung Lubok Merbau, Kampung Kandang, Kampung Bukit Buloh Besar, Kampung Bukit Buluh dan Kampung Bukit Kura di bahagian barat daya, Kampung Bukit Buloh Kechil di bahagian barat, dan Kampung Lubok Labi, Kampung Tanjong Seberang dan Kampung Bendang Padang di bahagian barat laut. Pekan yang berhampiran dengan Kampung Bukit Baling ialah Pekan Kampung Tanjung, yang terletak di bahagian tenggara.[1][3][4]
Iklim di sekitar kawasan Kampung Bukit Baling ialah iklim khatulistiwa (dikelaskan sebagai Af dalam pengelasan iklim Köppen). Purata suhu di Kampung Bukit Baling untuk tahun 2000 ialah 27.2 °C (81.0 °F). Dalam rekod, bulan yang paling panas ialah Mei dengan suhu mencecah 27.8 °C (82.0 °F) dan bulan paling sejuk ialah Januari dengan suhu 26.4 °C (79.5 °F).[5][6] Purata pembentukan kerpasan iaitu air hujan turun di sekitar kawasan ini adalah 2,434 milimeter (95.8 in) pertahunnya. Bulan Oktober merekodkan bulan pembentukan kerpasan yang tinggi iaitu, sebanyak 314.1 milimeter (12.4 in) manakala bulan yang paling rendah pembentukannya pula terjadi pada bulan Julai dengan 101.0 milimeter (4.0 in).[5][6]
Terdapat dua buah rumah yang dianggarkan dalam kawasan Kampung Bukit Baling, dengan pola petempatan berjenis petempatan berselerak, dalam peta FMS Survery. Beberapa kawasan di perkampungan ini terutama di bahagian barat telah dijadikan sebagai kawasan penanaman sawah padi (atau bendang) terbuka yang ditanam oleh penduduk setempat, dengan menggunakan air dari Sungai Lubok Labi. Hampir persekitaran Kampung Bukit Baling dikelilingi oleh ladang kelapa sawit.[3][4] Pemerhatian bumi oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mendedahkan bahawa terdapat kira-kira 25 ke 250 orang yang mendiami di sekitar kawasan Kampung Bukit Baling perkilometer perseginya, yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sederhana–jarang.[7][8] Kawasan perkampungan Kampung Bukit Baling kini dilitupi oleh kawasan tanah yang dicampur kegunaannya iaitu industri pertanian seperti kelapa sawit dan padi, petempatan manusia, kawasan perhutanan, dan padang ragut.[9][10]
Kampung Bukit Baling dahulunya dihubungkan dengan petempatan lain dengan jalan tanah sahaja.[3][4]
|journal=
(bantuan)