Gegeli | |
---|---|
Gegeli duri, Lasia spinosa | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Plantae |
Klad: | Trakeofit |
Klad: | Angiosperma |
Klad: | Monokot |
Order: | Alismatales |
Keluarga: | Araceae |
Genus: | Lasia |
Spesies: | L. spinosa
|
Nama binomial | |
Lasia spinosa (L.) Thwaites[1]
| |
Sinonim[1] | |
|
Geli-geli, gegeli, segeli, bekil atau nyambing (Lasia spinosa)[2][3] ialah spesies tumbuhan herba dalam keluarga talas-talasan, Araceae. Ia tumbuh di kawasan tropika dan subtropika bertanah lembap. Tumbuhan ini tempatan dari benua kecil India, China Selatan dan Tengah, Taiwan, Indochina, Tanah Melayu, Borneo, Sumatera, Jawa, dan New Guinea.[1] Tumbuhan ini turut dipanggil gali-gali, keladi gegeli dan keladi keris.[4][5]
Pucuk mudanya boleh dibuat ulam dengan cara direbus dan dicecahkan bersama sambal belacan, budu, cencaluk atau cecahan yang lain. Rasanya lemak, seakan-akan asparagus. Ia perlu direbus sehingga masak dahulu sebelum dimakan untuk menghilangkan toksik dan tidak boleh dimakan mentah.[6]
Ia ialah tumbuhan renek kecil setinggi 50–75 cm (20–30 in). Batangnya lembut, pendek, dan didakap oleh tangkai daun yang panjang dan berduri kecil. Daunnya tunggal, bertangkai panjang, tercarik ke dalam dan membentuk 4-8 pasang cuping yang tirus serta panjang. Cuping paling bawah melentok ke bawah. Tangkai daun dan urat di permukaan bawah daun berduri keras.[1]
Bunga-bunga pokok ini kecil dan muncul berjambak pada pangkal pokok. Seludang bunganya berwarna hijau di luar dan ungu keperangan di sebelah dalam.[4] Buahnya pula berwarna hijau, tersusun rapat pada jambak buah.
Daun geli-geli mengandungi air, karbohidrat, serat, alkaloid, mineral, musilaj, protein, kalsium, kalium, zink, ferum dan vitamin.[perlu rujukan]
Ia dikatakan dapat merawat sakit perut, sembelit, buasir, gout, sakit buah pinggang, air perut tidak lawas dan rawatan selepas bersalin.[7]