Farsakh (Jawi: فرسخ , bahasa-bahasa Parsi dan Arab: فَرسَخ ) atau persangga (disebut [pĕr.sang.ga], Jawi: ڤرسڠݢ dari Parsi: فرسنگ farasang) ialah unit jarak berjalan kaki yang mula diwujudkan di Iran dengan kadar yang berbeza-beza mengikut rupa bumi dan kelajuan perjalanan.
Satuan ini dihitung sama ada bersamaan kira-kira 3 hingga 3½ batu (4.8 hingga 5.6 kilometer), 3¾ batu, bahkan sampai sejauh 4 batu 17 ela (8 kilometer).[1][2] Jarak farsakh bersamaan 3 batu sering digunakan sebagai padanan kepada ukuran Romawi leuga (bahasa Inggeris: league ) yang digunakan masyarakat Barat.[3]
Sebutan mengenai ukuran paling awal yang masih kekal ada berasal dari penulisan Herodotus bertarikh pertengahan abad ke-5 SM ( Historia ii.6, v.53, vi.42) yang mentakrifkan dengan satuan Yunani sendiri bersamaan dengan 30 stadion atau setengah skhoinos;[4][5] ukuran ini turut diiyakan beberapa penulis Yunani dan Romawi kemudiannya ( Suidas dan Hesychius abad ke-10, abad ke-5/4 SM Xenophon Anab. ii.2.6).[4] Agathias abad ke-6 Masihi (ii.21) bagaimanapun — sambil merujuk kepada Herodotus dan Xenophon — mencatatkan bahawa pada zamannya orang Parsi menganggap parasang bersamaan 21 stadion.[4]
Farsakh atau persangga yang diperkenalkan ke alam Melayu pada awalnya diberikan maksud jarak tepatnya "satu jam perjalanan berkuda".[6]
8 farsakh ditentukan bersamaan dengan 1 marhalah atau 44.790 km.[7]
Pada tahun 1920, Kenneth Mason dari Royal Geographical Society menyimpulkan bahawa parasang yang digunakan dalam catatan perjalanan Xenophon menuju Babylon hanya sama dengan 2.4 batu (3.9 km).[8] Pencarian bandar purba Hekatompylos tamadun Parthia (kini Qumis di Iran) pada pertengahan 1960-an berdasarkan jarak diberikan dalam catatan penjelajahan Alexander Agung pada pertengahan abad ke-4 SM kronologi menghasilkan anggaran empirikal bersamaan sepuluh stadion kurang dari satu batu Inggeris (1.609 km), dan tiga batu ke parasang (4.827 km).[9]
Suatu kajian tahun 2010 menentukan jarak persangga dalam tulisan Xenophon mengenai perang Kurusy yang Muda melawan Artaxerxes II menunjukkan bahawa panj ang parasang dicatat berbeza-beza mengikut cuaca dan rupa bumi yang dilalui tentera di mana persangga dicatat di kawasan bertanah rata dan kering lebih panjang dari yang dicatat semasa tempoh perjalanan lebih perlahan.[10]
Ar, sl ukuran panjang yg sama dgn 3 batu atau 4.8 kilometer
n kl ukuran jarak, sepanjang lebih kurang 8 km