Ayam Pegar
ايم ڤݢر
Ayam Pegar jantan (L. i. nobilis)
Pengelasan saintifik
Alam:
Filum:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Phasianidae
Subkeluarga:
Genus:

Pegar Tatera atau Ayam pegar merupakan salah satu daripada spesies burung liar yang boleh didapati di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Sumatera. Ayam pegar digolongkan dalam keluarga Phesanidae, bersama-sama dengan burung kuang raya, kuang cermin, kuang gunung, merah mata dan ayam hutan.[1]

Terdapat empat pecahan spesies dalam pengelasan ayam pegar (Lophura ignita) iaitu Lophura ignita ignita, Lophura ignita nobilis, Lophura ignita macartneyi dan Lophura ignita rufa, akan tetapi pada tahun 2014, Ayam Pegar Malaya yang dikenali sebagai "L. i. rufa" secara ilmiahnya telah dikelaskan sebagai spesies yang berbeza daripada yang lain iaitu "L. rufa".

Ayam pegar telah disenaraikan di dalam Lampiran III CITES di Malaysia, dan mendapat status mergastua yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972/Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.[2]

Ciri-ciri

Ayam pegar dikenali warga tempatan kerana daging kulit keras berwarna biru nila yang menutupi mukanya seperti topeng manakala bagi orang luar pula ayam pegar dikenali kerana bulu sejemput di bahagian belakang selangka ayam pegar jantan yang semacam api marak berwarna merah berlatarkan bulu biru kehitaman. Mata ayam pegar berwarna merah dan berparuh warna pucat. Ayam pegar bersaiz antara 55 sm sehingga 70 sm panjang, dengan panjang ekor 15-30 sm. Berat badannya antara 1.6 kg hingga 2.6 kg. Ayam pegar jantan bersaiz lebih besar daripada ayam pegar betina. Spesies ini mempunyai warna bulu yang berbeza mengikut jantinanya. Ayam pegar jantan mempunyai jambul kembang yang cantik dan berambu pada bahagian atasnya manakala jambul ayam pegar betina lebih mengucup dan mempunyai rambu dihujungnya. Ayam pegar jantan lazimnya berbulu pelepah biru hitam berkilat seperti baldu menutupi tubuhnya dan mempunyai bulu sejemput di belakangnya yang berwarna merah manakala ayam pegar betina pula lazimnya mempunyai bulu pelepah berwarna perang membaluti tubuhnya dan jaluran pendek putih hitam di dadanya.[3]

Perbezaan Ayam Pegar jantan

Ayam Pegar jantan (L. i. ignita)

Perbezaan Ayam Pegar betina

Ayam Pegar betina (L. i. macartneyi)

Ayam pegar menghasilkan bunyi mendecit-decit bernada tinggi pada awalnya dan bernada rendah perlahan seperti ada sesuatu yang melekat di kerongkong diakhirnya.[4]

Bunyi ayam pegar jantan berketak

Pemakanan

Ayam pegar bersifat omnivor yang memakan bijirin seperti padi, daun pucuk muda, buah-buahan dan haiwan-haiwan kecil seperti cacing dan siput.

Pembiakan

Pada musim mengawan, corak bulu ayam pegar jantan akan bertukar menjadi lebih menarik seperti baldu biru kehitam-hitaman yang berkilat. Warna biru nila kulit muka ayam pegar jantan akan tampak lebih menyerlah dan akan dikembangkan pada musim mengawan bagi menarik perhatian ayam pegar betina.[5] Ayam pegar bersifat monogami dan setia kepada pasangannya.[6]

Ayam pegar akan mula bertelur selepas usianya 2 tahun ke atas. Telur ayam pegar berwarna putih kekuningan. Sebanyak 4-8 telur akan dieramkan sehingga beberapa minggu pada bulan Mei (L. i. ignita) dan April (L. rufa) pada satu-satu masa. Anak ayam pegar mempunyai bulu coklat berbelang kehitaman di bahagian atas dan kelabu putih di bahagian bawah.[7]

Habitat

Ayam pegar ditemukan di hutan tanah pamah kawasan rendah kurang daripada 1000 meter kecuali hutan paya gambut di Malaysia dan Indonesia. Ia lebih menyukai kawasan yang berhutan tebal bersemak dan mengelak padang rumput yang lapang yang terdedah dengan bahaya. Ancaman utama ayam pegar adalah kemusnahan habitatnya di hutan yang dilapangkan menjadi ladang pertanian dan pemburuan haram bagi dijadikan haiwan peliharaan ekzotik.[8]

Pengelasan Spesies

Kebudayaan Tersirat

Ayam pegar telah menjadi haiwan yang terdapat dalam pepatah Bahasa Melayu, "Harapkan pegar, pegar makan padi." (.هارڤكن ڤڬر، ڤڬر ماكن ڤادي).[22] Maksud pepatah ini ialah harapan yang diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkan.[23] Perbincangan sama ada subjek yang dimaksudkan adalah pagar ataupun Ayam Pegar ini masih dalam perdebatan dan kajian berterusan.[24][25]

Rujukan

  1. ^ Enakmen-enakmen yang berkaitan dengan pemuliharaan di Sabah, 1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997[pautan mati kekal]
  2. ^ "Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010" (PDF). Undang-Undang Malaysia. Parlimen Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-05-10. Dicapai pada 25 May 2012.
  3. ^ Abdul, J. (2015). Konservasi - Ayam Pegar Makan Padi? Diarkibkan 2018-12-03 di Wayback Machine, Dewan Kosmik Bil 5 2015.
  4. ^ Crested Fireback Pheasant Voice
  5. ^ Abdul, J. (2015). Konservasi - Ayam Pegar Makan Padi? Diarkibkan 2018-12-03 di Wayback Machine, Dewan Kosmik Bil 5 2015.
  6. ^ Bornean Crested Fowl
  7. ^ Ayam Pegar, Zoo Kemaman-PERHILITAN (2014)
  8. ^ Crested Peafowl, Beauty of Birds
  9. ^ Lophura ignita nobilis
  10. ^ Bornean Fireback (Delacour's)
  11. ^ Malaysian Fireback, Lophura ignita rufa
  12. ^ Shaw.(1798).Lophura ignita ignita)
  13. ^ [1]
  14. ^ Bornean Crested Fireback
  15. ^ Sclater,P.L.(1863).Lophura ignita nobilis
  16. ^ [2]
  17. ^ Greater Bornean Crested Fireback
  18. ^ Temminck.(1813).Lophura ignita macartneyi
  19. ^ Raffles.(1822).Lophura ignita rufa
  20. ^ [3]
  21. ^ Vieillot's Crested Firebacks
  22. ^ Johardi, I.(2014) Harapkan pegar bukan pagar
  23. ^ Muhammad, D. (2015) Harapkan pagar, pagar makan padi
  24. ^ Khidmat Nasihat (Sastera) Dewan Bahasa Pustaka
  25. ^ "Noraini, A.S. & Intan Marlina, M.A. (2016). Padi sebagai tanda dalam peribahasa Melayu" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2018-12-03. Dicapai pada 2018-12-02.

Pautan luar


Senarai burung Burung merpati
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z